Monday, December 15, 2014

#KisahSuksesBAD - Terlelap lebih 50 kali

#KisahSuksesBAD - Terlelap lebih 50 kali

Perjalanan jauh memang memakan tenaga, masa dan WANG. Kali terakhir saya melakukan perjalanan jauh ke Kelantan dan Terengganu, dalam rangka cuti-cuti Malaysia, berdua bersama isteri saya yang tercinta.

Benar kata Rasulullah, "Perjalanan itu adalah sebahagian kecil daripada azab." (Hadith riwayat Imam At-Tirmizi)

Semasa itu, umur saya baru 29 tahun. Masih muda. Memandu berseorangan, sambil ditemani isteri adalah salah satu nikmat dunia. Kali itu, kami mula keluar dari Kelantan jam 9 pagi. Selepas melalui hampir 16 jam perjalanan yang banyak berhenti-makan-minum-jumpa orang-solat-makan-lagi-tidur, akhirnya kami selamat sampai di Nilai jam 3.30 pagi.

Kali ini, saya membawa isteri dan ibu mertua melakukan perjalanan ke Perlis. Jika dihitungkan dan dituruti nasihat Pak Lebai Google Maps, jumlah jam perjalanan hanyalah sekitar 6 jam sahaja. Dalam perjalanan pergi, saya agak mengantuk kerana baru selesai makan tengah hari lewat petang. Tambahan pula pada hari Jumaat, energi level banyak dihabiskan bagi mendapatkan input hari Jumaat.

Singgah sebentar tidur di RnR kerana terlalu mengantuk dan sudah hampir tersengguk. Dapat setengah jam tidur tidak berkualiti, maka sudah boleh jalan semula. Sudah BAD supaya tidak mengantuk sangat.

Alhamdulillah, tiba di Perlis jam 11 malam. Hampir sesat kerana tidak mahu mengikut panduan Tuan Guru Lebai Google Maps. Ustaz Waze pula sudah tidur awal.

Usai Bengkel Mendorong Anak dan Pelajar di Perlis, kali pertama dan melengkapkan Kembara Teknik Nabi USK menjelajah seluruh Malaysia, kami diraikan oleh sahabat lama zaman sekolah di rumah beliau. Alhamdulillah, syukur kerana dijamu dengan roti nan dan ayam tandoori dengan spageti carbonara lagi.

Cabaran untuk diet dan kekalkan mata supaya tidak mengantuk.

Energi saya sudah hampir habis kerana petangnya saya dan ibu mertua dibawa berjalan ke Padang Besar yang sesak badak dan rimas panas. Sambil makan pun mata sudah kuyu.

Tiba masa untuk pulang. Saya target untuk sampai jam 3 pagi. Memandu dengan laju dan cepat. Banyak kali saya BAD supaya perjalanan dipandu dengan selamat dan cepat.

Tapi menjelang jam 11 malam, selepas singgah solat, isteri saya menyuruh saya tidur dahulu. Akhirnya singgah di RnR Gurun pun hampir sejam. Semasa itu saya belum mengantuk betul. Jadi hanya dapat tidur 15 minit sahaja.

Perjalanan diteruskan lagi. Energi semakin lama semakin habis. Beberapa kali mata pun tertutup, atau fikiran menerawang jauh sambil membayangkan  Ultraman sedang beraksi melawan raksasa di atas aspal Lebuhraya PLUS.

Tersedar lagi, bawa lagi, terlelap lagi, tersedar semula, bawa lagi sehingga akhirnya saya mengalah. Saya singgah di RnR Bukit Gantang dan teruskan mimpi melawan raksasa. Lena. Berpeluh (',')'

Cukup setengah jam, saya tersedar dan meneruskan perjalanan. Setiap kali memulakan perjalanan semula, saya minta Allah pandukan kereta saya, kerana saya yakin, jika saya bergantung kepada diri saya sendiri walaupun satu minit, sudah tentu saya akan kemalangan.

Tidak mampu saya melawan kelopak mata sendiri (walaupun bermimpi melawan raksasa). Banyak kali terlelap sesaat. Alhamdulillah kereta tidak banyak. Sekali sekala terlelap 2 saat.

Singgah makan pula di RnR Tapah. Akhirnya meneruskan lagi perjalanan yang rasanya cukup lambat mahu ditamatkan. Masih seperti tadi. Terlelap, sedar, bawa, terlelap. Rutin.

Akhirnya, sesudah beberapa kali akhirnya, barulah tiba di rumah di Kajang. Allahu. Jam sudah menunjukkan pukul 5.30 pagi. Padanlah penat sangat. Sesudah lebih 50 kali terlelap.

Alhamdulillah. Haza min fadhli rabbina. Saya tiba tanpa sebarang cacat cela. Syukran ya Allah.


No comments:

Post a Comment