Wednesday, March 2, 2016

#KisahSuksesBAD : Mendapat Parking

#KisahSuksesBAD : Mendapat Parking

Kisah kali ini sebenarnya adalah rutin apabila saya kerap ke Pusat Bandar Kajang. Sekarang, saya bekerja secara sambilan membaiki telefon bimbit di Rambo Gadget (terletak di dalam Rambo Stations, Seri Bangi, Seksyen 8, Bangi). Jadi, saya akan kerap ke kedai sparepart yang terletak di pusat bandar yang terkenal dengan sibuk meskipun bukan waktu puncak.

Secara umumnya, waktu saya akan ke kedai sparepart adalah sekitar jam 1 petang hingga jam 7 petang (sebelum kedai sparepart tutup). Pada waktu puncak, adalah sangat normal apabila kita tidak mendapat parking langsung. Kebanyakan amalan pemandu di sini adalah melakukan double parking.

Jujurnya, saya sudah agak kurang melaksanakan BAD. Barangkali kerana hubungan dengan Allah agak jauh, banyak melakukan dosa, dan lalai dalam beribadah. Tapi, sekali-sekala, saya akan tetap melaksanakan BAD, dengan tidak malu meminta itu dan ini. Allahu...

Kerapkali apabila saya ke sini, saya tidak mendapat parking. Dan kerap juga saya pusing semula laluan yang sama beberapa kali dengan harapan saya akan mendapat insan yang mahu keluar dari kawasan parking. Selalunya hampa.

Entah pada satu hari, saya tergerak untuk meminta. Apabila meminta daripada Yang Maha Kaya, sudah tentu akan dapat. Allah makbulkan doa saya. Sedangkan cuaca pada waktu itu sangat panas terik, jalan super jam, dan pemandu berebut-rebut mahu parking.

Elok sahaja saya tiba di situ, terus ada kereta mahu keluar. Allahu Akbar...

Malu, segan, dan rasa bersalah pula apabila meminta, Allah terus beri. Sedangkan banyak lagi kesalahan dan kesilapan saya sehari-hari, yang saya cuaikan.

Semoga Allah masih mahu terus memandang saya yang kerdil ini.

#MasihmahuBAD
#MasihpengemistegarkasihsayangAllah
#BADuntukParkingkereta
#BADuntukPemandu

Thursday, July 9, 2015

Kisah Sukses BAD : Bertemu Insan Yang Perlu Bantuan


Saya terlibat dengan operasi stor pasca banjir Briged Bakti Malaysia dengan kerjasama Malaysian Relief Agency. Jadi, semalam recce dan survey. Hari ini terlibat repacking barangan.

Semalam ke beberapa buah kawasan menghantar bantuan banjir.

Semua perhatian tertumpu ke Kuala Krai dan Manek Urai, sedangkan ramai lagi orang kena banjir di Pasir Mas, Tanah Merah, Tumpat, malah di Kota Bharu sendiri.

Saya amalkan ‪#‎TeknikBAD‬ semalam supaya dapat ketemu orang yang belum pernah dapat bantuan. Petang itu, Allah rezekikan bertemu rumah yang dilanda banjir setinggi pinggang, tapi jauh terperosok di tengah-tengah rumah orang lain di Pasir Hor, Kota Bharu.

Ada orang menelefon, dan memberitahu, di celah-celah sebuah kawasan elit, tempat tinggal jutawan di Kota Bharu, masih tidak mendapat bantuan. Di bawah hidung para hartawan. Di sana-sini jutawan ini memberi dan memberi, tetapi terlupa di kawasan sendiri. Apapun, tugas yang nampak ini untuk menampung yang kurang.

Baru tahu tugas di gudang lebih memenatkan berbanding menghantar bantuan.

Hampir pitam sebab penat. Tapi alhamdulillah sukarelawan lain bantu beri ubat dan ringankan beban.

Barangan bantuan yang sudah siap dibungkus.

Chef didatangkan dari Vietnam. Chef Kareem.

Anak-anak muda Kelantan yang bersungguh membantu tanahair. Allah berkati mereka semua.

Tuesday, January 13, 2015

#AdabBAD

#AdabBAD : Allah sebagai Tuhan sekaligus sahabat baik

Belajar Bertanya Allah Dahulu, adalah belajar mengenai sifat yakin dan percaya. Bertanya Allah Dahulu dalam setiap urusan hidup, daripada sebesar-besar keputusan, sehinggalah kepada sekecil-kecil permintaan. Yakin Allah Maha Mengabulkan. Ia bukan sebagai teori dan kesedaran yang hanya berlegar di masjid-masjid dan poster motivasi, tapi adalah keyakinan praktikal yang terpasak, dalam hati hamba Allah. Cara layman.

Dalam meminta dan memohon, ada adabnya. Manusia dikenali dan dihormati kerana adabnya. Seperti dalam hubungan bermasyarakat, apabila kita meminta sesuatu, haruslah ada syarat dan adab yang dipenuhi. Kadangkala mudah, kadangkala ruwet.

Namun, meminta kepada Allah tidak sukar. Apabila kita rasa kita mahu meminta, itu tanda Allah mahu berikan. Allah pasti beri, dalam pelbagai bentuk dan kondisi.

#1AdabBAD - Minta pada waktu insya Allah maqbul dan kurang maqbul.

Teringat saya kepada drama bersiri berjudul Makbul. Ada banyak waktu makbul yang boleh kita fokuskan. Antaranya, pada hari Arafah, pada bulan Ramadhan, pada petang hari Jumaat dan pada waktu sebelum Subuh. 

Dalam #TeknikBAD, kita disuruh berdoa setiap masa, setiap ruang digunakan untuk bertanya, berkomunikasi dan bercakap dengan Allah. Sehingga terbiasa meminta dan bertanya. Allah sentiasa ada dan sentiasa hidup. Sentiasa tahu situasi hamba-hamba-Nya.

Jika dalam waktu kurang makbul pun kita jarang meminta, adakah kita berharap kita mudah meminta dalam waktu makbul?

Cakap kepada orang sebelah, "Jangan harap!"

Bayangkan, jika pada waktu yang kurang maqbul pun, doa kita selalu maqbul, bagaimana pula dengan waktu pasti maqbul?

Jangan berhenti berdoa! Allah berfirman melalui sabda Nabi dalam hadith Qudsi, "Allah turun ke langit dunia pada setiap malam, iaitu ketika waktu satu per tiga malam masih berbaki. Allah berfirman, "Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, Aku pasti kabulkan doanya. Sesiapa yang meminta, Aku pasti berikan kepadanya. Sesiapa yang memohon keampunan, Aku pasti mengampunkannya." (Hadith riwayat Imam Muslim)


#2AdabBAD - Angkat tangan dan menghadap kiblat.

Doa lebih mudah maqbul apabila tangan diangkat dan badan menghadap ke kiblat. Kedudukan menghadap kiblat menghasilkan energi tersendiri. Alignment dengan kiblat, Kaabah dan terus ke langit. Manakala tangan diangkat melambangkan kita serius meminta.

Dalam peristiwa solat istisqa' iaitu solat meminta Allah menurunkan hujan, Nabi mengangkat tangan baginda begitu tinggi, sehingga kelihatan ketiaknya yang putih. Ironisnya, Nabi diriwayatkan mengangkat tangan berdoa dalam khutbah hanya pada waktu itu.

Ada juga masa, Nabi berdoa hanya dengan lafaz, tanpa mengangkat tangan. Dalam #TeknikBAD, kita akan berdoa dan meminta setiap masa, tanpa mengira kita mengangkat tangan ataupun tidak.

Jika kita serius meminta, Allah juga serius mahu mengkabulkannya. Tidak percaya?

“Tuhan kalian Maha Pemalu dan Pemurah. Dia malu jika hamba-Nya telah mengangkat tangan berdoa kepada-Nya, lalu tidak dikabulkannya.” (Hadith diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi dan Imam Ibn Majah)

Tuhan malu apabila kita meminta, Dia tidak memakbulkan. Namun, apakah kita perlu malu meminta atau sebenarnya kita malas meminta?

Cakap kuat-kuat, "Tanya hati sendiri!"

#3AdabBAD - Kondisi Pasti Maqbul

Allah terlalu baik sebenarnya. Dalam kehidupan seharian, pasti ada satu keadaan apabila doa  tidak akan ditolak. Allah bukan sahaja beri dan maqbulkan doa dalam keadaan biasa, malah Allah beri waktu istimewa untuk kita benar-benar ada talian maqbul.

Talian maqbul. Ya, sebenarnya wireless. Tanpa talian. Cuma ada signal. Signal maqbul apabila hujan sedang turun. Signal maqbul juga apabila sedang sujud. Signal maqbul lagi apabila sedang dalam peperangan. Signal maqbul terus apabila dalam kondisi musafir. Juga signal maqbul semasa sedang gembira mahu berbuka puasa. Ada yang panjang bertahun-tahun. Ada yang singkat beberapa saat.

Abu Hurairah mengatakan, "Sesungguhnya pintu-pintu langit terbuka semasa jihad fi sabilillah sedang berkecamuk, ketika turunnya hujan, dan ketika iqamah solat wajib. Manfaatkanlah masa untuk berdoa pada waktu itu." (Dinukilkan dalam kitab Syarh as-Sunnah, oleh Imam Al-Baghawi 1:327)

Setiap hari ada waktu connection paling kuat. Pada waktu sebegitulah, kita perlu hantarkan borang permohonan. Terutamanya hajat-hajat yang besar. Waktu sebeginilah kita perlu download sebanyak mungkin panduan, ilham, arahan, tugasan, gerak hati dan kata-kata Allah ke dalam diri.

Jika tidak ketemu kondisi maqbul, paksa diri pergi bermusafir atau pergi bersolat!

#4AdabBAD - Suara Lembut lagi Merintih

Pernahkah kita melihat di pusat membeli-belah misalnya, ada anak-anak yang meraung dan menjerit mahukan sesuatu? Apakah perasaan kita? Tentu kita pernah terdetik, ya, anak-anak ini menjengkelkan. Apa pula perasaan ibu bapa mereka? Mahukah mereka menunaikan permintaan anak-anak mereka dengan gembira?

Tentulah tidak sama situasi ibu bapa dan kondisi Allah sebagai pemaqbul doa kita. Tarbiyah sentap Allah hantarkan lewat hadith riwayat Imam Bukhari.

Dari Abu Musa (semoga Allah redha kepadanya), pada suatu masa para sahabat pernah berzikir dengan menjerit-jerit. Kemudian Nabi mengatakan,

"Wahai manusia, kasihanilah diri kalian. Sesungguhnya kalian tidak menyeru Zat yang tuli dan tidak ada. Sesungguhnya Allah bersama kalian, Dia Maha Mendengar lagi Maha Dekat."

Nah, Allah tidak tuli. Allah lebih dekat kepada kita berbanding urat leher kita. Iaitu Allah hampir sangat dengan kita melalui kekuasaan dan ilmu-Nya.Tidak dapat dibayangkan, jika kita meminta sesuatu permohonan dengan menjerit-jerit dan membentak, dan Allah 'menampar' kita sehingga kita terduduk!

Justeru, mintalah dengan sopan dan santun. Kerana Allah itu sangat sopan dan sangat lembut.

#5AdabBAD - Tidak Berpuisi dalam Doa

Kadangkala, ada orang yang terlebih kreatif dalam berdoa, sehingga akhirnya doa jadi puisi. Unsur estetika dan ritma lebih diutamakan berbanding kandungan doa itu sendiri.

#TeknikBAD membantu kita berdoa dalam keadaan normal, tidak berlebihan sehingga bersajak, dan tidak pula kering daripada isi. Doa yang baik adalah doa yang straight forward, dan spesifik.

Doa yang terbaik adalah doa ajaran Allah dan Rasul. Doa-doa dalam al-Quran dan Sunnah mengajar kita berkenaan konten doa, iaitu apa yang perlu diminta.

Setakat ini, sudahkah anda mempunyai senarai konten doa yang perlu diminta dan disubmit kepada Allah?

#6AdabBAD - Yakin Allah akan kabulkan

Rasulullah menyatakan dalam adab berdoa, "Berdoalah kepada Allah dan kalian yakin akan dikabulkan permintaan. Ketahuilah, sesungguhnya Allah tidak akan mengkabulkan doa dari hati yang lalai dan main-main (tidak serius)."(Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan dinilai benar oleh Syeikh al-Albani)

Berapa ramai orang yang faham apa yang imam doakan selepas solat? Angkat tangan!
Tahukah kita apa yang imam doakan? Jika tidak tahu, cari buku dan fahami maksudnya.

Dahulu, sebelum saya belajar bahasa Arab, semasa imam berdoa, mata saya akan menerawang kerawang masjid, kadangkala mendongak kubah, kadangkala memerhati gelagat orang berdoa. Senang cakap, tidak ada hati pun berdoa bersungguh-sungguh. Agaknya, jika kita tidak serius meminta, adakah Allah akan serius mengkabulkan?

Adakah saya wajib belajar bahasa Arab untuk faham doa? Jawapannya, ya dan tidak.

Yang wajib adalah, fahami apa yang didoakan. Apapun, doa tidak semestinya di dalam bahasa Arab, kecuali doa di dalam solat. Berdoalah dalam bahasa yang difahami. 

Apabila kita faham apa yang kita minta, barulah hati akan rasa yakin ia akan dimakbulkan. Jangan separuh-separuh dan agak-agak. Belajar fokus dalam berdoa.

Nabi berpesan,
"Janganlah kalian ketika berdoa mengatakan. "Ya Allah, ampunkanlah saya jika Engkau mahu. Ya Allah, rahmatilah saya jika Engkau mahu." Dia mestilah memantapkan permintaannya kerana Allah tidak sukar melakukan sesuatu." (Hadith direkodkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim)

#7AdabBAD - Di antara Takut dan Harap

Dalam al-Quran, Allah mendorong manusia berdoa dengan rasa takut dan rasa mengharap secara seimbang. Di antara tamakkan syurga dan takutkan neraka. Di antara takutkan azab Allah dan mahukan nikmat Allah. Di antara bimbangkan kemurkaan Allah dan berasa bahagia atas keredhaan Allah.

Buktinya, Allah selalu menggandingkan ayat-ayat syurga dan ayat-ayat neraka. Allah selalu meletakkan sesuatu itu seimbang.

Allah suka jika kita berdoa dengan merendahkan hati, dengan penuh harapan memenuhi permintaan kita, dan dengan penuh rasa bimbang andai sebaliknya.

Allah berfirman dalam surah Al-Anbiya, ayat 90. "Sesungguhnya mereka adalah orang yang selalu bersegera melakukan perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan berharap dan bimbang. Dan mereka adalah orang yang khusyuk kepada Kami."

#8AdabBAD - Jauhi Tergesa-gesa dan Memaksa.

Tenang adalah menang. Tergesa-gesa adalah sifat kesukaan syaitan. Memaksa adalah sifat manusia biasa.

Hakikatnya, Allah punya kehendak sendiri. Tiada sesiapa yang dapat memaksa Allah melakukan apa yang Dia kehendaki, walaupun kita memaksa keinginan kita itu dikabulkan.

Siapalah kita untuk memaksa....

Nabi menyatakan berkenaan orang yang tergesa-gesa dalam berdoa.

"Doa para hamba akan sentiasa dikabulkan, selagi dia tidak berdoa perkara dosa dan memutuskan silaturrahim, dan selagi dia tidak tergesa-gesa." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulallah, apakah itu tergesa-gesa?" Nabi menjawab, "Iaitu orang yang berdoa, 'Saya sudahpun berdoa,' 'Saya sudahpun berdoa,' tapi tidak pernah pun dikabulkan!' Akhirnya dia berputus asa dan meninggalkan berdoa."
(Hadith ini dinukilkan oleh Imam Muslim dan Imam Abu Daud)

Ingat, Allah berjanji akan mengkabulkan semua permintaan kita. Kita tunggu sahajalah. Kadangkala cepat, kadangkala Allah gantikan yang lebih baik, kadangkala lambat, kadangkala Allah gantikan dengan pahala di akhirat.

Asalkan meminta, asalkan sabar!

#9AdabBAD - Pujilah Allah dan kekasih-Nya, Rasulullah.

Allah menyarankan sebelum kita meminta untuk diri kita, kita meminta untuk orang lain dahulu. Puji dahulu Allah dan minta untuk kekasih-Nya, Rasulullah.

Allah memiliki nama-nama yang baik, maka berdoalah dengan menggunakan nama yang Allah suka itu. Semua orang sudah hafal nama Allah yang 99 itu?

Baik. Mintalah hajat kita, dengan nama-nama yang serasi dan sesuai dengan permintaan kita.
Contohnya, kita mahu bantuan Allah mentadbirkan urusan harian kita. Sebutlah, "Ya Mudabbir, bantulah daku menyelesaikan urusanku hari ini. Aku tak kuat dan tak mampu tanpa bantuan-Mu."

Nabi sendiri pernah mendengar seseorang berdoa tanpa memuji Allah dan berselawat kepada Nabi. Nabi katakan orang ini sebagai terburu-buru. Kemudian, Nabi berpesan,

"Apabila kalian berdoa, maka mulakanlah dengan memuji dan mengagungkan Tuhannya yang Maha Tinggi dan Maha Kuasa, kemudian berselawatlah kepada Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, kemudian, berdoalah apa yang dia mahu." (Hadith ini direkodkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud dan dinilai benar oleh Syeikh al-Albani)

Jangan tergesa-gesa dalam meminta, kerana berdoa itu ada tekniknya.

#10AdabBAD - Doa diulang-ulang

Antara cara menetapkan fokus dan memantapkan hati adalah dengan mengulanginya dalam jumlah ganjil. Kenalpasti sama ada permintaan kita itu benar-benar kita mahukan atau sekadar biasa-biasa terlintas di minda. Walaupun ada testimoni sukses BAD hanya dengan doa sekali, namun secara adabnya, mohonlah berulang kali.

Ini menjelaskan salah satu sebab ada orang doanya mudah dimakbulkan, dan ada orang doanya lambat dimakbulkan. Pengulangan doa melambangkan keseriusan kita meminta dan betapa perlunya kita kepada perkara yang kita minta itu.

Apabila berdoa, Nabi selalu mengulangi doa itu sebanyak tiga kali.

#11AdabBAD - Istighfar, Taubat & Bersih

Salah satu syarat bagi memudahkan Allah memakbulkan permintaan kita adalah kita mempunyai rezeki yang halal, pakaian yang halal, makanan yang halal dan baik. Jika tidak, hal itu membuatkan doa kita sukar dimakbulkan. Jadi, jika kita punya masalah doa lambat makbul, hatta yang mudah-mudah, mungkin ada salah satu syarat yang tidak dipenuhi.

Bagaimana cara untuk bersihkan dan halalkan?
Istighfar iaitu meminta ampun atas dosa kita yang lama dan baru. Minta Allah hapuskirakan dosa kita, daripada catatan malaikat.

Taubat daripada melakukan semula perbuatan dosa yang pernah kita lakukan. Berazam untuk tidak mengulanginya lagi. 

Bertanya Allah, minta supaya Allah bantu kita mendapat rezeki yang halal. Minta Allah lorongkan kita ke arah kebaikan.

Bukan apa, perbuatan dosa dan maksiat mengeruhkan hubungan jiwa kita dengan Allah. Ada gangguan pada signal hati. Nanti, jika dapat petunjuk pun, petunjuk itu mungkin tidak tepat.

Thursday, December 25, 2014

Isu Bantuan Banjir : Boleh Percayakah?

BOLEH PERCAYA KE?
---------------------------------
Semalam saya membuka ruang untuk komen ke mana boleh disalurkan bantuan untuk Orang Kena Banjir (OKB). Macam-macam komen dan maklumat saya perolehi. Ada yang persendirian, ada yang kelab, ada NGO, ada parti politik.

Ada orang mesej saya dan bertanya, "Ustaz, boleh percaya ke semua itu? Nanti dana tak sampai, macam mana?"

Saya senyum. Saya jawab di sini sahaja. Semua orang boleh baca.

Jawapan saya ringkas sahaja.

Tanya Allah, kepada yang mana satu, kita mahu salurkan bantuan. Selepas tanya Allah, hati tenang dengan keputusan itu, terus salurkan bantuan. Jangan tunggu lama-lama.

Jika kita sandarkan pada kekuatan dan ilmu kita yang sempit, kita tak akan tahu siapa yang cuai, siapa yang curang, siapa yang culas. Siapa yang jujur, siapa yang amanah, siapa yang ikhlas. Semua orang ada nafsu dan akal. Semua orang tahu nilai duit apatah lagi apabila ia sangat banyak.

Jika kita tidak yakin lagi (sudah tanya Allah pun masih tak yakin lagi, memang nak kena ni), minta Allah sampaikan juga kepada OKB walaupun mungkin saluran bantuan itu bermasalah. Allah tahulah bagaimana menyelesaikan masalah kecil itu.

‪#‎teknikBAD‬.
‪#‎KomunikasidenganAllah‬

Tuesday, December 23, 2014

#KisahSuksesBAD - Merawat Ketagihan Dosa

#KisahSuksesBAD 23 Disember 2014 - Merawat Ketagihan Dosa

*Kisah daripada PM.

Bismillahirrahmaniraheeem..

Assalamualaikum ustaz. Pertamanya terima kasih kerana mengirimkan ebook ini kepada saya. Sebenarnya saya sudah lama mencari cara untuk selesaikan masalah saya.

Saya tak tahu nak mula macam mana, ustaz. Tolong jangan beritahu sesiapa hal ini. Boleh ye? Tolong ye?

Saya dulu sejak sekolah menengah suka onani. Tak tahu cemana boleh terjebak. Tapi saya pikul dosa itu sejak dulu sampai sekarang. Bukan itu sahaja, bagi meraikan nafsu, saya selalu tengok video lucah. Astaghfirullah....

Agak kronik juga sampai saya hampir terjebak dalam zina... Mujur Allah selamatkan saya.

Sejak dulu saya selalu bertaubat, ustaz. Kadang-kadang saya rasa tak mahu hidup dah, sebab saya banyak sangat dosa. Kadang-kadang ok sekejap, kadang-kadang hanyut. Tiap kali lepas taubat, godaan dia makin kuat. Banyak kali, bila saya dapat hidayah buat amal lebih sikit, masa tulah godaan dia makin teruk.

Saya hampir putus asa. Sedih sebab rasa macam saya ni permainkan Allah plak. Yalah, kejap buat dosa, kejap taubat. Kejap ingat, kejap lupa. Kejap insaf, kejap sedap-sedap plak. Huhu...

Satu masa tu, saya doa supaya Allah bantu saya hilangkan ketagihan. Sudah cukuplah saya buat dosa. Saya tak mahu penuhkan timbangan amal saya dengan dosa lagi. Saya letih.

Lepas itu, satu persatu Allah beri cara. Saya dapat peluang pergi ke IMKK. Dalam IMKK kan dia cerita pasal energi negatif. Amalan buruk habis kena buang. Habis je IMKK, saya baca di FB ustaz, ada sorang sis tu tulis ebook Bertanya Allah Dahulu.

Saya teringin nak baca. Saya doa supaya saya dapat baca percuma, pasal saya tak ada duit. Dah habis bayar IMKK. Dalam pada itu, saya masih lagi onani sekali sekala walaupun tak sekerap dulu.

Lepas saya baca, hati saya bergetar. Lama saya termenung. Inilah yang aku cari. Inilah yang aku mahu. Aku mahu berubah ya Allah. Saya menangis sungguh-sungguh. Saya minta Allah pandu saya sampai ke akhirat. Saya nak masuk syurga, walaupun saya banyak sangat dosa. Nak jaga solat pun lagi senang. Tak macam dulu. Dulu saya liat bangun subuh.

Allah itu maha penyayang. Sejak saya baca ebook itu, saya sangat jarang buat lagi. Saya rasa macam tak berani nak buat. Saya takut Allah tak suka saya. Saya takut Allah benci saya sebab saya buat lagi apa yang Dia tak bagi saya buat. Dahlah selama ni saya buat benda yang Allah larang.

Memang susah nak tahan, apatah lagi benda sedap macam tu. Ada sekali tu saya lambat bangun Subuh. Otak dah masuk air. Tak tahan. Saya plak duduk sorang. Saya teringin nak buat. Telinga saya bingit dengan suara kecil larang saya buat. Tapi entah kenapa masa tu saya pedulikan semuanya. Saya buat juga...

Lepas buat baru menyesal tak sudah. Rasa hubungan dengan Allah jauh sangat. Saya sedih. Saya menangis lepas tu. Saya istighfar banyak kali. Rasa sedih tak hilang. Ambil masa 3-4 hari juga nak bagi hilang rasa stress buat dosa tu. Allah bagi peluang saya bangun malam. Cuci dosa saya.

Ustaz, saya nak minta tolong ustaz BAD. Minta doakan saya selalu. Doakan saya terus atas jalan benar. Doakan saya dapat jadi orang baik macam ustaz. Dalam sujud, saya dapat ilham untuk hafal Quran. Nak tebus dosa-dosa saya. Saya harap ustaz dapat doakan saya jadi hafiz Quran.

Allah suka orang yang hafal Quran, kan, ustaz?
Walaupun saya tak tau saya kuat ke tak lepas ni, tapi saya harap saya dapat jadi orang kuat yang bersandar kepada Allah sepenuhnya. Amin.

Terima kasih ustaz sebab sudi baca sharing saya. Saya syukur sangat sebab Allah pertemukan saya dengan ebook ni. Terima kasih Allah!

---

Nota : Kisah ini dipaparkan atas keizinan beliau, atas persetujuan supaya apa-apa info yang melibatkan identiti tidak didedahkan. Juga sudah diedit dari segi bahasanya dan susunan ayatnya agar lebih mudah difahami. Mohon abaikan sesetengah istilah yang tidak sesuai.





Sunday, December 21, 2014

#KisahSuksesBAD - Hari Luar Biasa

#KisahSuksesBAD - Hari Luar Biasa

Kisah ini adalah sambungan kepada #KisahSuksesBAD - Allah Tukar Program.

Pagi Khamis, sebelum bertolak ke Masjid Sg Penchala, saya sempat berdoa supaya Allah menjadikan hari saya itu sebagai hari luar biasa.

Allah makbulkan doa saya. Alhamdulillah.

Pagi itu, pertama kali sepanjang hidup saya, saya mengimamkan qiamullail.

Pagi itu juga, pertama kali sepanjang hidup saya, saya memberikan Kuliah Subuh.

Pagi itu juga, pertama kali saya diberi peluang menziarah pesakit kanser yang tidak pernah saya kenali.

Kisahnya, pada jam 8 selepas sarapan dan usai kuliah, isteri saya tiba-tiba menelefon memaklumkan supaya saya pergi menziarahi adik Zamir Zafri, si kecil yang menderita kanser saraf.


Selesai acara senaman pagi di Perkhemahan Remaja Muslim, saya bergegas ke Hospital Besar Kuala Lumpur.

Ternyata agak sukar mencari tempat parkir. Sudah BAD supaya dapat tempat yang dekat, tetapi rupanya tempat dekat itu bisa mencalarkan kereta, dan tempat jauh bisa menambahkan pahala.

Membacakan Yasin buat adik Zamir, hati dirundung sayu. Berbual dengan keluarga-keluarga pesakit kanser, membuatkan saya terfikirkan tanggungjawab dan tugas saya yang besar untuk digalas.

Sahabat Hospital bergabung dengan Team Titipan Doa akan menggunakan teori Gamification.

Kisah hari luar biasa saya tamat dengan beban digalas, dan tekad digas.

=====
Kemaskini :

Adik Zamir Zafri telah berpulang menuju Tuhan Yang Maha Cinta. Pulang dengan iringan kasih sayang ramai orang, dan cinta keluarga tak bertepi, tabah dan redha tanda akur kudrat Ilahi. Tepat jam 7.15 pagi, hening dhuha Jumaat mengiring cinta Zamir bertemu cinta Tuhan.

Allahu Akbar!

#nanges
#sebak

#KisahSuksesBAD - Allah Tukar Jadual Program.

Bismillahirrahmanirrahim.

Sebenarnya, pada hari Rabu lepas, saya diamanahkan menyampaikan kuliah Maghrib di Perkhemahan Remaja Muslim, di Masjid al-Hidayah, Sg Penchala.

Saya sebenarnya kurang mahir memberi ceramah, walaupun dianggap sebagai ustaz. Well, kemahiran seseorang itu berbeza-beza. Mungkin ada sedikit bakat bercakap di khalayak ramai, namun saya lebih suka mengurangkan pendedahan diri di khalayak dari segi bercakap.

Saya tetap terima dengan anggapan ia adalah tugas dan amanah saya. Namun, di dalam hati tetap BAD supaya Allah permudahkan urusan saya nanti dan memberikan jalan terbaik.

Tiba hari program. Hati saya berdebar. Bertambah-tambah saya lakukan BAD supaya urusan lancar.

Hari itu sepatutnya saya dan isteri tidak ke mana-mana. Namun, petangnya isteri mengajak ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan. Batuk beliau agak teruk akhir-akhir ini.

Tempoh di Klinik Pakar nampaknya agak lama. Semakin hampir waktu Maghrib. Saya menelefon penganjur memaklumkan kondisi saya.

Tiba-tiba penganjur bersetuju dengan ketidakhadiran saya Maghrib itu, malah menyuruh saya mengisi slot Qiamullail dan Kuliah Subuh pula.

Allahu. Saya tidak tahu mengapa, tetapi hati saya rasa lega. Lebih lega berbanding menerima tawaran kuliah Maghrib.

Allah tukar program saya ke acara yang lebih baik untuk saya. Alhamdulillah.

Selepas program, feedback penganjur mengatakan mereka berpuas hati. Thumma alhamdulillah.

BAD menjadikan hati lebih tenang meski cabaran mendatang.


Monday, December 15, 2014

#KisahSuksesBAD - Terlelap lebih 50 kali

#KisahSuksesBAD - Terlelap lebih 50 kali

Perjalanan jauh memang memakan tenaga, masa dan WANG. Kali terakhir saya melakukan perjalanan jauh ke Kelantan dan Terengganu, dalam rangka cuti-cuti Malaysia, berdua bersama isteri saya yang tercinta.

Benar kata Rasulullah, "Perjalanan itu adalah sebahagian kecil daripada azab." (Hadith riwayat Imam At-Tirmizi)

Semasa itu, umur saya baru 29 tahun. Masih muda. Memandu berseorangan, sambil ditemani isteri adalah salah satu nikmat dunia. Kali itu, kami mula keluar dari Kelantan jam 9 pagi. Selepas melalui hampir 16 jam perjalanan yang banyak berhenti-makan-minum-jumpa orang-solat-makan-lagi-tidur, akhirnya kami selamat sampai di Nilai jam 3.30 pagi.

Kali ini, saya membawa isteri dan ibu mertua melakukan perjalanan ke Perlis. Jika dihitungkan dan dituruti nasihat Pak Lebai Google Maps, jumlah jam perjalanan hanyalah sekitar 6 jam sahaja. Dalam perjalanan pergi, saya agak mengantuk kerana baru selesai makan tengah hari lewat petang. Tambahan pula pada hari Jumaat, energi level banyak dihabiskan bagi mendapatkan input hari Jumaat.

Singgah sebentar tidur di RnR kerana terlalu mengantuk dan sudah hampir tersengguk. Dapat setengah jam tidur tidak berkualiti, maka sudah boleh jalan semula. Sudah BAD supaya tidak mengantuk sangat.

Alhamdulillah, tiba di Perlis jam 11 malam. Hampir sesat kerana tidak mahu mengikut panduan Tuan Guru Lebai Google Maps. Ustaz Waze pula sudah tidur awal.

Usai Bengkel Mendorong Anak dan Pelajar di Perlis, kali pertama dan melengkapkan Kembara Teknik Nabi USK menjelajah seluruh Malaysia, kami diraikan oleh sahabat lama zaman sekolah di rumah beliau. Alhamdulillah, syukur kerana dijamu dengan roti nan dan ayam tandoori dengan spageti carbonara lagi.

Cabaran untuk diet dan kekalkan mata supaya tidak mengantuk.

Energi saya sudah hampir habis kerana petangnya saya dan ibu mertua dibawa berjalan ke Padang Besar yang sesak badak dan rimas panas. Sambil makan pun mata sudah kuyu.

Tiba masa untuk pulang. Saya target untuk sampai jam 3 pagi. Memandu dengan laju dan cepat. Banyak kali saya BAD supaya perjalanan dipandu dengan selamat dan cepat.

Tapi menjelang jam 11 malam, selepas singgah solat, isteri saya menyuruh saya tidur dahulu. Akhirnya singgah di RnR Gurun pun hampir sejam. Semasa itu saya belum mengantuk betul. Jadi hanya dapat tidur 15 minit sahaja.

Perjalanan diteruskan lagi. Energi semakin lama semakin habis. Beberapa kali mata pun tertutup, atau fikiran menerawang jauh sambil membayangkan  Ultraman sedang beraksi melawan raksasa di atas aspal Lebuhraya PLUS.

Tersedar lagi, bawa lagi, terlelap lagi, tersedar semula, bawa lagi sehingga akhirnya saya mengalah. Saya singgah di RnR Bukit Gantang dan teruskan mimpi melawan raksasa. Lena. Berpeluh (',')'

Cukup setengah jam, saya tersedar dan meneruskan perjalanan. Setiap kali memulakan perjalanan semula, saya minta Allah pandukan kereta saya, kerana saya yakin, jika saya bergantung kepada diri saya sendiri walaupun satu minit, sudah tentu saya akan kemalangan.

Tidak mampu saya melawan kelopak mata sendiri (walaupun bermimpi melawan raksasa). Banyak kali terlelap sesaat. Alhamdulillah kereta tidak banyak. Sekali sekala terlelap 2 saat.

Singgah makan pula di RnR Tapah. Akhirnya meneruskan lagi perjalanan yang rasanya cukup lambat mahu ditamatkan. Masih seperti tadi. Terlelap, sedar, bawa, terlelap. Rutin.

Akhirnya, sesudah beberapa kali akhirnya, barulah tiba di rumah di Kajang. Allahu. Jam sudah menunjukkan pukul 5.30 pagi. Padanlah penat sangat. Sesudah lebih 50 kali terlelap.

Alhamdulillah. Haza min fadhli rabbina. Saya tiba tanpa sebarang cacat cela. Syukran ya Allah.


Wednesday, December 10, 2014

#KisahSuksesBAD - Allah Ganti Acara yang Lebih Baik

#KisahSuksesBAD - 9 Disember 2014 - Allah Ganti Program yang Lebih Baik

Bismillahirrahmanirrahim.

Petang. Saya masih di ofis menyelesaikan sedikit kerja saya. Tiba-tiba satu panggilan masuk.

Koordinator dari SME Bank menelefon.

"Boleh saya bercakap dengan owner Syabab Variety Services?"

"Ya, saya. Ada apa ya?"

"Saya dari SME Bank, untuk Program Pemerkasaan Usahawan Bumiputera. Kami mahu bertanya adakah tuan masih menjalankan perniagaan? Perniagaan apa? Sudah berapa tahun?"

"Oh, kedai saya itu sudah tutup. Sayang sekali. Setakat ini, belum ada perniagaan betul-betul lagi. Masih bermula semula. Bila programnya?"

"Esok pagi dalam 1 jam atau 2 jam. Lebih berbentuk business coaching dan sharing bagaimana kami dapat membantu usahawan bumiputera. Kami pilih tuan secara rawak melalui panggilan telefon. Ini program terakhir untuk tahun ini."

Semasa berbual ini, saya sudah BAD, bertanya Allah, sama ada saya patut pergi ataupun tidak program ini. "Ya Allah, perlukah aku pergi? Aku tak ada apa-apa acara esok." Allah datangkan rasa dalam hati saya. Ilham segera datang.

"Ah, sayang betul. Saya rasa macam tidak dapat pergi esok. Agak terdesak juga dan saya susah buat keputusan dalam masa singkat," saya membalas meskipun saya tahu saya tiada acara khusus esok.

"Selepas ini memang tiada program yang serupa?"

"Ada, tapi untuk usahawan dari Johor dan Malaysia Timur."

Saya mengangguk walaupun tiada sesiapa yang nampak. Sebenarnya sukar menolak peluang hadir majlis ilmu dan business coaching secara terpijak sebegini. Orang lain berpusu-pusu mahu pergi dan mahu dapatkan kelebihan untuk bisnes masing-masing. Saya boleh pula menolak. Terdetik sekejap rasa rugi.

Kemudian, saya geleng kepala. Allah sudah tentukan yang terbaik. Saya harus akur. Sebelum mengakhiri perbualan, koordinator itu berkata, "Jika ada usahawan lain yang membatalkan appoinment, saya akan hubungi tuan semula untuk selitkan."

"Baik. Terima kasih ya!"

Rupa-rupanya ada rancangan lain yang Allah mahu beri. Mungkin ada urusan yang lebih penting.

Malam itu, rakan saya tiba-tiba menelefon mengajak berjumpa. Mahu berbincang berkenaan penubuhan NGO esoknya. Baru saya tahu mengapa saya berat hati.

Esoknya, iaitu hari ini, 10 Disember 2014, Allah ganti sekali lagi dengan acara lain yang sebenar. Iaitu sembang bisnes dan networking bersama Tuan Abu Hassan Ashaari Ismail, salah seorang abang besar pengedar buku di kawasan Bangi, Putrajaya dan Kajang. Baca #KisahSuksesBAD Sarapan Pagi Percuma.

Selepas pulang dari Huffaz Bistro, saya tersenyum simpul mengenangkan baiknya Allah menukar program 1 jam PUB kepada coaching bisnes yang lebih customised kepada diri saya dan bisnes saya.  Bukan dapat coaching bisnes sahaja, dapat network baru, dapat gosip penerbitan baru, dapat skill baru, dapat trik dan pengalaman orang lama bisnes buku dan macam-macam lagi.

Alhamdulillah.

#KisahSuksesBAD - Sarapan Pagi Percuma

#KisahSuksesBAD - 10 Disember 2014 - Sarapan Pagi Percuma

Sepatutnya saya sudah lama buat Latihan Praktikal 7 Hari BAD ini, iaitu sejak saya terima ebook BAD 1.0. Dalam Latihan Praktikal 7 Hari, kebanyakan cadangan latihan adalah ketika kita berada dalam kesenangan.

Tapi sebab saya belum belajar yakin dengan baik, maka saya bermula dengan BAD semasa dalam kesusahan. Iaitu kisah saya terkunci di luar pejabat. Hehe. 

Baik. Ini kisah selepas saya sudah belajar yakin dan yakin Allah akan beri apa yang saya minta, sama ada sekejap, lama, dimakbulkan atau ditangguhkan.
Pagi tadi, saya solat Dhuha seperti biasa. Selepas solat teringat bahawa saya belum habis menjalani latihan praktikal. Saya mulakan dengan BAD - Pow makanan dengan Allah!

Saya BAD untuk mendapat sarapan pagi percuma. Pagi ini, saya sebenarnya perlu menunggu confirmation daripada rakan untuk berjumpa jam 9 pagi. Ada urusan penubuhan NGO yang akan dibincangkan. 

Dalam BAD ada BAD
Sambil-sambil menunggu, saya layari Facebook. Kemudian terlihat di wall Tuan Abu Hassan al-Gerikas, buku yang saya order sudah sampai. Saya pun BAD agar dapat ambil hari ini dan terus tulis komen di gambar itu.

Tidak sampai 5 saat, Tuan Abu Hassan PM saya di inbox mengajak berjumpa jam 9 pagi. Mesej Tuan Abu Hassan tidak menunjukkan beliau sudah baca apa saya tulis di wall beliau. Subhanallah! Terkejut saya.

Namun, saya ada appointment yang saya perlu confirm terlebih dahulu. Selepas berbincang beberapa minit, saya menelefon kawan saya yang mahu berjumpa jam 9 pagi.
Rupa-rupanya, beliau ajak jumpa jam 9 malam, bukan jam 9 pagi. Allahu.

Terus saya bersiap untuk ke Huffaz Bistro jam 9 pagi, appointment dengan Tuan Abu Hassan.

Kami berbincang macam-macam perkara. Dari dunia penerbitan, bisnes, grup bisnes, berkenalan dengan grup Pulau Jutawan, berbincang SOP, peluang-peluang bisnes baru, dan akhirnya tibalah masa untuk ambil buku.

Saya bertanya berkenaan sarapan kami tadi. Saya mahu membayar. Tuan Abu Hassan kata, sudahpun dibayar.

Aneh, siapa yang membayar?

Ada hamba Allah, yang kami sendiri tidak tahu siapa, sudahpun membayarkan sarapan untuk kami. Bukan saya seorang, tetapi satu meja!

Allahu Akbar! Subhanallah, nikmat yang manakah yang dapat saya dustakan. Allah beri dan beri. Membuatkan saya malu.